Sunday, March 7, 2010

Terhentinya Era Hentian Puduraya

Petikan ini di ambil dari http://lanh14.blogspot.com/

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Di dalamnya (syurga) ada sungai-sungai yang tidak berubah rasa dan baunya, dan sungai-sungai yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai daripada arak yang lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya, dan sungai-sungai daripada madu yang disaring, dan di dalam mereka memperoleh segala macam buah-buahan dn ampunan daripada Tuhan mereka.: (Muhammad, 47:15)
***

"Semua kena pindah dekat IPK (merujuk kepada sebuah stesen bas sementara berhampiran Ibu Pejabat Kontijen Polis, Jalan Hang Tuah) selewat-lewatnya 19 Mac ini," beritahu seorang peniaga sebuah gerai yang hanya mahu dikenali sebagai Yam mengenai premis perniagaannya kepada penulis di Hentian Puduraya baru-baru ini.

Seorang petugas di sebuah kaunter tiket bas, Jefrri mengesahkannya: "Ya segala operasi di Hentian Puduraya akan dipindahkan ke sana mulai pertengahan Mac ini. Stesen bas IPK itu akan mengendalikan perkhidmatan bas ke selatan; bas-bas ke destinasi lain di stesen Jalan Duta, Hentian Putra atau Jalan Pekeliling (Tun Razak)."

Penulis bertanya balik, "Apa akan jadi dengan Puduraya ini?" Yam yang petah bercakap, menyampuk: "Dengar khabar semua gerai dan kaunter bas di tingkat ini akan dirobohkan. Mereka hendak membuat 'food court' (medan pusat makanan) yang besar di sini. Di sini tidak akan mengendalikan perkhidmatan bas lagi." (Sebenarnya Hentian Puduraya akan ditutup buat sementara, dengar khabarnya selama empat bulan bagi membolehkan kerja-kerja meningkat taraf hentian bas itu)

Penulis bertanya Jeffri mengapa, stesen bas sementara disediakan dekat IPK? "Stesen pengangkutan awam integrasi besar di Sri Petaling belum siap lagikah?" Beliau menjawab stesen itu dijangka boleh digunakan penghujung tahun ini (2010), jadi buat sementara gunakanlah yang dekat IPK.

Tinjauan penulis di Hentian Puduraya mendapati ada beberapa gerai sudah tidak lagi beroperasi. Kebetulan hari itu, penulis ketemui seorang peniaga yang memberitahu hari itu adalah hari terakhir dia di Puduraya.

Beliau yang sudah berpuluh tahun menjalankan perniagaan di Hentian Puduraya, memberitahu dia sedih untuk meningalkan tempat yang banyak mencatatkan pahit maung dan manis dalam perniagaan, tetapi apa hendak buat, Hentian Puduraya yang terkenal itu akhirnya akan tinggal dalam kenangan dan menjadi sejarah saja.

Penutupan Hentian Puduraya yang dibuat secara tergesa-gesa, mengejutkan banyak pihak. Ini kerana sebelum ini, selepas lawatan Perdana Menteri, Najib Razak pada awal 2009, hentian itu sudah diubah suai dan dinaikkan taraf dengan peruntukan RM44 juta - RM30 juta adalah untuk UDA membaik pulih bangunan dan RM14 juta bagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya.

Wang sebanyak RM44 juta sudah 'dileburkan', tetapi kini Hentian Puduraya yang berusia lebih 30 tahun akan ditinggalkan. Sejak setahun lalu, hentian ini diubah suai, misalnya sebuah ruang menunggu luas yang boleh menampung kira-kira 500 orang sudah disiapkan di tingkat mezzanine, manakala sepanjang kedua-dua belah Jalan Pudu dipasang pagar dan dibuat garisan kuning bagi menghalang kegiatan menurun dan menaiki kenderaan yang menyebabkan gangguan perjalanan lalu lintas.

Sebuah laluan besar dan kemas juga sudah dibina bagi menghubungkan Hentian Puduraya dengan susur gajah menghala stesen LRT Plaza Rakyat yang kosnya tentu bukan sedikit. Semuanya akan ditinggalkan apabila riwayat Hentian Puduraya ditamatkan dalam seminggu dua ini.

Hentian Puduraya bukan saja merakamkan sejarah negara, tetapi juga sejarah kisah duka ramai rakyat Malaysia terutama yang kini dalam usia 20-50 tahun. Di perhentian ini, terakam kisah suka duka, ramai yang jatuh cinta di sini, malah ramai juga yang memadu dan menyulam kasih sama ada di bangku keras Puduraya atau dalam bas ekspres yang memulakan perjalanan jauh di sini.

Mengikut catatan, Hentian Puduraya telah dirasmikan pembukaannya pada 2 Oktober 1978 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ (kini Tun dan Allahyarham) Hussein Onn. Hentian ini dibina di bawah projek dan daya usaha positif Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA) dan agensi gabungan kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Polis, LLN, Air dan Telekom.

Hentian Pudu Raya yang dahulunya digunakan sebagai landasan kereta api dibina di kawasan tiga ekar dan platform basnya terletak 3.5 meter di bawah Jalan Pudu. Di sini terdapat 24 ruang tempat letak bas yang lebarnya 3.8 meter dan boleh memuatkan sebanyak 40 buah bas.

Hentian yang merupakan pintu masuk ke pusat Kuala Lumpur ini juga dibina dengan tujuan untuk menyediakan lebih banyak tempat-tempat berniaga bagi peniaga bumiputera. Ia juga merupakan langkah positif UDA dalam mencapai objektif kerajaan untuk memenuhi Dasar Ekonomi Baru. Selain daripada itu ia juga dibina untuk mengatasi kesesakan lalu lintas dan menambahkan keselesaan pemandangan dan menyusun semula masyarakat Wilayah Persekutuan.

Mengenai stesen bas sementara berhampiran IPK, seorang pemandu bas yang mahu dikenali sebagai Krishnan, berkata beliau bimbang kesesakan sepanjang Jalan Hang Tuah akan menjadi lebih teruk. Bagaimanapun beliau mengakui kedudukannya agak strategik kerana terletak tidak jauh daripada stesen monorel dan LRT Hang Tuah.

Kata Krishnan, beliau tidak dapat membayangkan bas-bas terpaksa beratur panjang sepanjang Jalan Hang Tuah untuk memasuki stesen bas sementara itu. "Ini akan menyusahkan kami yang kadang-kadang diperlukan untuk mengambil penumpang dengan cepat," katanya. Bagaimanapun, beliau bersikap positif dan berharap pembukaan stesen bas sementara itu dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di kawasan berkenaan.

Seorang lagi pemandu bas ekspres dari selatan, Md Ali Said (Pak Ali), berkata beliau berharap stesen pengangkutan awam canggih yang sedang dalam pembinaan di Sri Petaling dapat disiapkan mengikut jadual kerana kesesakan jalan raya bermula dari Sungai Besi sehingga Hentian Puduraya amat buruk.

"Jika stesen itu beroperasi tidak perlulah kami ke pusat bandar raya. Keadaan yang selesa tentu menggembirakan kami, membuat kami bersemangat untuk bekerja," katanya.

Namun Pak Ali dan juga Krishnan tetap sedih kerana terpaksa meninggalkan Hentian Puduraya yang banyak mencatat suka duka mereka sebagai pemandu bas. Pak Ali dari Melaka sempat bergurau dengan mengungkapkan kata-kata, "tempat jatuh lagikan dikenang, ini pula tempat bermain!" Apa maksudnya ‘bermain’ tidaklah penulis ketahui.

Bagi penulis yang telah berpuluh tahun ‘bermain’ di Hentian Puduraya, tentulah penutupan Hentian Puduraya meninggalkan nostalgia hebat. Sedihnya untuk mengucapkan ‘Selamat Tinggal PUDURAYA’, walaupun buat sementara!





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...